DIARI KASIH NURIN

Tuesday, June 7, 2022

CATATAN BUAT NURIN- SUATU WAKTU SANGAT MEMERLUKAN INI.-Mama doakan yang terbaik







 Assalamualaikum. 


Alhamdulillah dan tahniah buat semua bakal dhyufurrahman 1443H yang dimuliakan. Tumpang bahagia rasanya bila dengar perkhabaran dapat menunaikan haji. 


Izinkan saya berkongsi sedikit panduan berdasarkan pengalaman sendiri. Semoga ianya memberi sedikit manfaat untuk bakal dhyufurrahman. 


PERSEDIAAN


Persediaan mental dan fizikal yang optimum sangat penting. Saya yakin semua bakal dhyufurrahman telah menghadiri kursus haji samada anjuran Tabung Haji atau mana-mana kelas haji dan umrah. Sekiranya kurang faham dan untuk menambah ilmu, boleh saja beli buku yang ada di pasaran. Boleh juga buat carian secara online atau google. Insya-Allah banyak perkongsian di situ. 


Ilmu tentang perlaksanaan haji dan umrah kena mantap untuk keyakinan diri bila di sana. Kena betul-betul faham dan yakin kerana ada ketikanya pembimbing tidak bersama kita. 


Usahakan untuk melakukan sessi berjalan dalam lingkungan 3 kilometer setiap hari. Kalau ikut Tabung Haji, mungkin  jarak paling dekat antara hotel dan Masjidil Haram adalah 800 meter tapi ini sampai dataran saja. Di dalam Masjidil Haram itu sendiri kita akan berjalan lagi jauh kerana nak cari tempat solat. Manusia terlalu ramai dan sesak. Bayangkan kalau dapat hotel yang jauh lebih kurang 1 hingga 2 kilometer. Pergi balik dah dalam 4 kilometer. Belum campur dengan jalan dalam masjid mencari port yang sesuai untuk solat. 


Pastikan kesihatan dalam keadaan baik dan lulus pemeriksaan kesihatan haji. Ambil suntikan yang diwajibkan dan jika mampu ambil lah juga suntikan optional.


Dari segi persiapan rohani, lakukanlah solat sunat semampu dan sebanyak mungkin terutama solat taubat dan hajat. Saya selalu merasakan diri saya adalah pendosa, maka saya sangat mendambakan keampunan dari yang khaliq. 


💝Fasa menerima surat tarikh penerbangan dan persediaan barang untuk bermusafir dalam lingkungan 40 hari.💝


Semak tarikh penerbangan dan 

pastikan tempat tuju samada Mekah atau Madinah (semak surat tawaran). Jika ke Mekah dulu, maksudnya kena sediakan persalinan Ihram dari tanah air.


Bagi yang dah berkeluarga, maklumkan pada keluarga sebab mungkin akan meninggalkan anak yang perlu diamanahkan kepada orang lain sepanjang ketiadaan kita di tanahair.


Bagi yang dapat penerbangan yang dah hampir dengan masyair, kena tentukan samada nak buat Haji Ifrad atau Tamatuk.  Isteri pula, bincanglah dengan suami dan mintalah izin dalam memilih jenis haji mana yang nak dilaksanakan. Ini sangat penting. 


🎁Pakaian


Bagi lelaki, kain ihram 2 set, kain pelikat berjahit sehelai, tak berjahit sehelai atau 2 helai, seluar sukan 2, tshirt 2, seluar biasa sehelai, kurta 2. Buatlah sedikit penambahan apa yang patut tapi jangan banyak sebab ia akan memberatkan beg. Di sana pula tentunya nak beli baju lagi terutama jubah. Hahaha. 


Bagi wanita pula, telekung bawaklah satu yang ada kain dan lagi 2 telekungnya sahaja. Baju pula, yang penting baju untuk di bilik. Jubah atau pakaian ke masjid 3 pasang dah memadai.. Dah kira banyak dah. 😊


Jubah hitam banyak di sana, sediakan duit je... Jubah putih pun ada tapi saya suka bawak sendiri. Sarung kaki, inner tudung (serkup rambut) dan sarung lengan secukupnya. Tudung labuh juga bawak lah dalam 3 helai. 


🎁Barangan lain


Extension, tali ampai, sepit baju, lampu picit kecil, kipas kecil, charger handphone, pisau kecil, gunting kecil, spray wuduk (selalunya dapat hadiah sebelum berangkat), peralatan di bilik mandi (berus gigi, ubat gigi, sabun, shampoo) dan apa saja yang perlu. Kalau terlupa, jangan risau.  Kat sana ada jual. 


🎁Ubat-ubatan


Bawalah ubat-ubatan ikut keperluan masing-masing. Nak bawa minyak kapak ke minyak gosok atau krim panas pun boleh. Ini penting sebab bila banyak berjalan, anggota badan ceoat oenat terutama kaki. Di sana harga ubat agak mahal. 


🎁Extra


Bawaklah Maggi, serunding, sambal, kicap atau cili sos. Kita ni mana pun nak yang pedas atau yang kena dengan tekak kita. Nak  beli bawang dan lada kat kedai Arab sebelah hotel pun boleh. Potong-potong letak kicap... wow sedap. 


Ok, katalah ada ruang lagi dalam timbangan beg tu, boleh fikirkan beli gula-gula hacks, hudson atau apa saja. Kat sana, kalau ke masjid, bawa dalam beg selempang tu.. bila orang batuk, boleh juga hulurkan. Dapat juga pahala bantu orang. 


FASA BERANGKAT


Ini adalah saat gembira bercampur sedih.. Pergi sebagai dhuyufurrahman dan dalam masa yang sama meninggalkan keluarga tersayang. In syaa Allah pulang dengan kemabruran. 


Patuhi segala arahan dari urusetia TH, masa daftar, ambil passport, gelang dan tag nama. Sentiasalah jaga disiplin dan kebersihan.


Waktu ini dah buat lambaian selamat tinggal pada keluarga. Dah ke ruang menunggu.. Naik bas ke KLIA.


Segala urusan imegresen In syaa Allah akan lancar samada ke Mekah atau Madinah. Bagi yang ke Mekah, akan berniat ihram di Qarnul Manazil.. Akan diberitahu oleh pilot bertugas. Setelah berniat, patuhilah segala pantang larang semasa ihram. 


Yang terus ke Mekah, akan melakukan umrah, ikutlah nasihat TH. Masa ini juga kena apply ilmu yang ada sebab mutawif susah nak kawal bila terpisah dari kumpulan terutamanya semasa tawaf. 


Semasa di Mekah atau Madinah, rebutlah peluang ibadah yang terbentang. Ganjarannya sangatlah berlipat kali ganda. Jaga kesihatan sepanjang berada di sana kerana matlamatnya adalah masyair iaitu dalam tempoh 5 hari menunaikan haji tersebut. Minum air banyak-banyak sebaiknya air zam-zam. 


Sepanjang menunggu hari masyair tu, rajin-rajinlah mengikuti kelas atau program yang disediakan oleh maktab masing-masing. 


Selalulah baca paparan notis board atau kat tepi lif tu.... Banyak informasi yang disediakan. Macam student gitu😊


Dalam tempoh ni.. Gelang dan uncang berisi batu melontar diedarkan. Simpan elok2 dan pakailah gelang tersebut.


Buat persediaan barang keperluan secukupnya untuk sepanjang tempoh berada di Arafah, Muzdalifah dan Mina. 


MASYAIR


Inilah saat yang dinantikan..  


Sekali lagi ikutlah arahan yang ditetapkan. Bergerak dari hotel, naik bas hingga ke Arafah, 8hb Zulhijah. Pastikan jaga pantang larang ihram... Dah niat kannnn😊


Berada di khemah di bumi Arafah... rebutlah peluang beribadah. Berdoalah semahunya di hari wukuf. Inilah saat yang paling dirindui nanti, 9hb Zulhijah. 


Ikutlah giliran dan arahan untuk berangkat mabit di Muzdalifah, naik bas lagi tapi taklah jauh pun. Kita dah dibekalkan batu, nak kutip sikit lagi pun boleh. Dapat juga pahala. 


Kat Muzdalifah, boleh gunakan peluang nak mandi ke, nak bersihkan diri ke sebab masa di Mina nanti, keadaan bilik air agak sesak, lebih kurang di Arafah juga.

Sekali lagi beratur naik bas ikut giliran. Berangkat lah kita ke Mina.

Akan berada di Mina dan berulang alik ke jamrat untuk melontar 10, 11, 12 atau 13 bergantung pada nafar awal atau nafar thani.

Selalunya nafar thani tapi ada yang diarahkan untuk nafar awal, mungkin sebab mereka akan bergerak ke Madinah atau penerbangan pulang telah hampir. 

Alhamdulillah selesailah sudah perjalanan rukun Islam yang kelima. 

Subhanallah. 

Masya-Allah. 

Tabarakallah. 

Setakat catatan perkongsian. Lain orang  lain  lain pengalamannya. Wallahuaklam. 


 Ktedit kepada penulis ini-Nutfia Arash -

mama cukup kagum dengan dia… ada ilmu dan pengalaman

cukup diadun.. serasa bagailan dah sampai kami ke sini.